Make your own free website on Tripod.com
headerphoto

Cerita Teladan

2 Biji Benih

Dua biji benih jatuh ke tanah yang subur. Benih pertama berkata, "Aku nak tumbuh dan membesar. Aku mahu julurkan akarku jauh ke dalam bumi dan tubuhku memanjang menolak tanah hingga keluar ke permukaan bumi. Aku mahu rasai kehangatan cahaya matahari dan kedinginan titisan embun di pagi hari yang berjatuhan ke kelopak bungaku." Biji benih itu terus tumbuh lalu membesar, menjengukkan mukanya melihat dunia dan merasai dinginnya titisan embun.

Biji benih kedua yang jatuh ke tanah pada hari yang sama pula berkata, "Aku takut. Kalau aku julurkan akarku ke dalam bumi, aku tidak tahu apa masalah yang bakal menimpa di tempat yang gelap itu. Kalau akau menolak-nolak tanah yang keras di atas tubuhku, mungkin aku akan mencederakan batang tubuhku sendiri."

"Apa jadi kalau aku buka kudupku, tapi kemudian dimakan cacing? Kemudian bila aku kembangkan kuntuman bunga yang mekar, tiba-tiba datang seorang budak nakal lalu memetikku. Ah, menyusahkan! Tidak, aku tidak mahu tumbuh hingga keadaan benar-benar selamat."

Biji benih itu terus menunggu hari yang difikirkannya sesuai, dengan perasaan takut dan ragu-ragu. Tiba-tiba datang seekor ayam mengais-ngais tanah. Haiwan itu terus mencatuk biji benih berkenaan kerana terlalu lapar!

Pisang dan Hati

Maryam, guru kelas tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang bertulis nama orang yang paling mereka benci, ke kelas pada hari esok.

Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci. Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Itulah permainannya. Selepas seminggu kita akan tahu keputusannya." Beritahu Maryam

Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg. Hari demi hari berlalu, pisang-pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk. Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Baiklah semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu? Tanya Maryam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain di dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. "Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian di dalam hati kamu sepanjang hidup kamu," beritahu Maryam.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik daripada membenci.