headerphoto

Pengetahuan Am

Hari April Fool

Hari April Fool bukanlah hari cuti, tetapi ia satu hari yang disambut oleh kebanyakan negara pada 1 April setiap tahun. Hari ini disambut dengan melakukan lawak atau mempersendakan rakan mahupun musuh. Di sesetengah negara, lawak April Fool hanya dibuat sebelum waktu tengahari. Asal-usul Hari April Fool masih kekal sebagai misteri. Pada asalnya tiada siapa pun yang tahu bila, di mana dan mengapa hari ini disambut. Tetapi apa yang kita tahu adalah Hari April Fool mula muncul di Eropah semasa Zaman Pertengahan. Dahulu ia dikenali sebagai All Fool's Day, ia adalah satu sambutan keramaian dan penglibatan golongan elit amat kurang. Mungkin sebab inilah sukar untuk menjejak asal-usul hari ini dan mereka yang menyambut hari ini pada waktu itu bukanlah jenis orang yang merekodkan apa yang telah dilakukan. Namun, apa yang jelas adalah tradisi hari khas untuk mempersendakan orang ini mempunyai beberapa teori asal-usul yang berkemungkinan.

Teori yang paling tersebar luas tentang asal-usul Hari April Fool ialah pembentukan semula Kalendar Gregory pada penghujung abad ke-16. Teorinya mengatakan bahawa pada tahun 1582, Perancis menjadi negara pertama yang bertukar daripada Kalendar Julian kepada Kalendar Gregory yang diasakan oleh Majlis Trent. Pertukaran ini bermakna bahaw permulaan tahun tersebut diubah dari penghujung Mac kepada 1 Januari. Mereka yang tidak mengikut perubahan ini dan masih mengikut sistem kalendar lama menyambut tahun baru di dalam minggu yang jatuh pada 25 Mac (dikenali sebagai Lady Day di London) dan 1 April telah dipersendakan. Contohnya kertas ikan akan dilekatkan di belakang seseorang. Mangsa gurauan ini diberi gelaran Poisson d'Avril ataupun April Fish. Oleh itu lahirlah Hari April Fool.

Idea pertukaran kalendar mungkin sekali memberikan sebab mengapa 1 April menjadi sambutan hari ini. Tetapi sudah jelas, bahawa idea sambutan ini bukan sekadar budaya sahaja. Selain itu, proses di mana amalan hari ini tersebar dari Perancis ke negara lain seperti Jerman, Scotland dan England masih tidak boleh dijelaskan mengikut teori ini. Negara-negara ini hanya menggunakan kalendar baru pada abad ke-18, pada masa di mana tradisi Hari April Fool telah lama diamalkan di seluruh Eropah. Akhirnya tidak jelas bukti apakah yang menyokong teori ini. Oleh sebab itu, walaupun ada kemungkinan bahawa teori perubahan kalendar dianggap benar, namun ia tidak patut dianggap sebagai satu fakta.

Supernova

Pada satu malam tahun 1054, Maharaja China dan seluruh rakyatnya melihat ke dada langit. Di celahan bintang yang halus berkerdipan, terdapat satu kilauan cerah yang lebih besar berbanding lainnya. Ia menyala mengalahkan bintang-bintang lain, malah cahayanya boleh dilihat dengan mata kasar pada siang hari. Baginda menitahkan ketua ahli kaji bintang istana mencatatkan penemuan bintang baru tersebut.

Sebenarnya apa yang dilihat bukanlah penemuan bintang baru tetapi kemusnahannya. Apa yang mereka lihat ialah letupan sebuah bintang besar yang dipanggil supernova dalam buruj Taurus. Kerdipan cahaya 'bintang baru' itu kemudiannya pudar sedikit demi sedikit, langsung hilang sebulan kemudian.

'Bungkusan' gas yang terang benderang akibat daripada letupan itu terus membesar dalam semua arah dengan kadar 1,100 kilometer per saat. Saiznya cukup besar, diselimuti awan putih berkilauan, hujungnya dipenuhi filamen-filamen berenda berwarna merah.

Kehadiran 'bungkusan' gas sisa letupan supernova itu dapat dilihat dengan lebih jelas apabila terciptanya teleskop. Ahli astronomi Perancis, Charles Messier yang menjumpainya pada 1758 menamakannya Messier 1. Bidang astronomi terus berkembang, teleskop yang lebih besar dan canggih dicipta. Pada 1840-an, ahli kaji bintang amatur Ireland bernama William Parsons menggunakan teleskopnya di Birr Castle, Ireland untuk melihat dengan lebih jelas wajah sebenar nebula itu. Berdasarkan bentuknya seperti ketam, beliau menamakannya Crab Nebula. Nama itu terus kekal sehingga kini.

Mancis

Mancis dicipta oleh tahanan politik bernama Ludwig Kamerer, yang dipenjarakan dalam sebuah sel gelap dalam tanah di Istana Hohenasperg dekat Karlsruhe, Jerman.

Dikatakan Kamerer memperuntukkan masa di dalam kurungan gelap itu dengan membuat pelbagai ujian dan secara tidak sengaja mendapati geseran posporus dengan sulfur boleh menghasilkan api. Bagaimanapun tidak diketahui tarikh tepat mancis ini dicipta.

Ada juga beranggapan mancis mula dicipta oleh ahli kimia Hungary bernama Janos Irinyi. Bagaimanapun dia kemudian menjual hasil ciptaannya itu dengan harga yang murah. Janos seterusnya membuat kilang mancis tetapi mati pada 1895 dalam keadaan papa kedana.

John Walker, ahli kimia yang tinggal di Stockton-on-tees, England dipercayai orang yang pertama mencipta mancis batang seperti yang ada sekarang. Dia tidak pernah mendedahkan komposisi bahan kimia yang digunakannya tapi mula menjual batang-batang mancis di kedainya pada 7 April 1827. Harganya satu syiling untuk 50 batang dan dua pens bagi kotaknya. Untuk memercikkan api, seseorang itu perlu mencarik batang mancis pada kertas pasir yang dilipat.

Air

  • Kira-kira 75 peratus daripada muka bumi ini diliputi air. Ia bersumber dari lautan, tasik, sungai dan kolam.
  • Daripada 75 peratus itu, 97 peratus air tersebut ialah lautan. Air tawar hanya mewakili tiga peratus sahaja daripada keseluruhan air yang terdapat di dunia ini.
  • 75 peratus daripada air tawar yang terdapat di muka bumi ini ialah air beku dan glasier yang terkumpul di kawasan kutub. Baki 24.7 peratus lagi termendap di dalam tanah. Hanya 0.3 peratus sahaja air tawar yang terdapat di dunia ini berpunca dari sungai dan tasik.
  • Kurang daripada 1 peratus air tawar, di darat dan di dalam tanah digunakan oleh manusia.
  • Ketika ini lebih 80 negara (mewakili kira-kira 40 peratus penduduk dunia) menghadapi masalah kekurangan air yang serius.
  • 1/3 daripada keseluruhan manusia yang menghuni bumi ini tinggal di kawasan yang keperluan airnya melebihi daripada bekalan. Asia Barat adalah yang paling serius kerana 90 peratus penduduknya tinggal di kawasan yang menghadapi masalah bekalan sumber tersebut.
  • Air mendidih pada takat suhu 100 darjah celsius dan beku pada 0 darjah celsius.
  • Manusia perlu meminum empat liter air sehari, bagaimanapun 2,000 hingga 5,000 liter diperlukan untuk memenuhi keperluan harian setiap individu.
  • Tanpa kita sedari, penggunaan air meningkat 3 kali ganda sejak 1950.
  • Dijangkakan dalam tempoh 20 tahun mendatang, keperluan air akan melonjak 40 peratus lagi berbanding yang digunakan sekarang.
  • Kajian mendapati, kira-kira 5 juta tan bahan asing mencemari bekalan air setiap hari.
  • Kira-kira 75 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada air. Ia juga menjadi unsur utama setiap hidupan di muka bumi.
  • Manusia boleh hidup sebulan tanpa makanan tapi akan mati kalau tidak minum dalam tempoh seminggu.

Selesema

  • Orang dewasa biasanya diserang selesema dua hingga empat kali setahun.
  • Sepuluh ekor virus sudah cukup untuk memulakan selesema.
  • Partikel yang tersembur semasa bersin berkelajuan 165 kilometer sejam dan boleh mencapai empat meter jauhnya.
  • Selesema tidak menyebabkan demam kecuali pada kanak-kanak.
  • Terdedah pada cuaca sejuk tidak meningkatkan risiko diserang selesema, tetapi kepenatan dan stress boleh mempengaruhinya.
  • Selesema tidak boleh diubati dengan antibiotik kerana ia bukan berpunca daripada bakteria.

Fakta Ringkas

  • Satu-satunya makanan yang tidak akan basi sampai bila-bila ialah madu.
  • Tempat paling lembap di dunia ialah Tulunendo, Columbia, Amerika Selatan. Ia menerima 11,770 milimeter hujan setahun.
  • India mengeluarkan 146 juta tan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap tahun, menjadikannya pengeluar kedua terbesar di dunia selepas China
  • Manusia ke 5 bilion lahir di Zagreb, Croatia pada 11 Julai 1987. Hari itu diisytiharkan sebagai Hari 5 Bilion.
  • Setitik air mengandungi 1.7 quintillion (1,700,000,000,000,000,000) molekul.
  • "Kalaulah aku dilatih dalam bidang teknikal, dah lama aku menyerah kalah," kata King Gillete selepas berjaya mencipta pisau cukur, setelah berusaha tanpa jemu selama lapan tahun.
  • Nyamuk mempunyai 47 batang gigi.
  • Pada zaman Rom purba, orang yang hidungnya bengkok dianggap bakal pemimpin.
  • Cecair di dalam kelapa boleh digunakan untuk menggantikan plasma darah.
  • Satu hari di planet Pluto bersamaan dengan seminggu di bumi.
  • Pokok oak tidak berbuah melainkan ia telah berusia lebih 50 tahun.
  • Pin bowling hanya perlu mengiring 7.5 darjah untuk jatuh.
  • Rakaman suara yang pertama di dunia dibuat oleh Thomas Edison pada 1877 dan rakamannya ialah "Mary had a little lamb".
  • Dubuk adalah satu-satunya binatang yang boleh ketawa seperti manusia.
  • Zirafah boleh melihat ke belakang tanpa menolehkan kepalanya. Bagaimanapun, ia tidak boleh mengeluarkan bunyi yang jelas biarpun lidahnya panjang.
  • Unta tidak tahu berenang, ia akan lemas kalau terjatuh ke dalam air.
  • Kucing mengesan arah jalannya menggunakan misai.
  • Burung reng boleh terbang setinggi 9,144 meter (30,000 kaki).
  • Ikan dan ular tidak menutup mata semasa tidur.
  • Penguin bertelur dalam posisi berdiri.
  • Helang boleh terbang selaju 99 kilometer sejam, manakala merpati pula selaju 62 kilometer sejam.
  • Paus biru merupakan haiwan terbesar di dunia boleh mencapai berat 304,815 kilogram (300 tan).
  • Semut boleh pergi ke tempat yang jauh yang tidak pernah dijejakinya dan pulang ke tempat asalnya dengan membawa makanan.
  • Segelen (4.5 liter) air laut mengandungi 70 gram garam.
  • Kapal terbang jumbo memerlukan 4,000 gelen (18,000 liter) minyak untuk terbang.
  • Venus adalah satu-satunya planet yang berputar mengikut arah jam.
  • Bulan terletak sejauh 3,654,334 kilometer dari bumi.
  • Permaidani Parsi mengandungi kira-kira sejuta ikatan dalam setiap tiga kaki persegi. Warna dan kualitinya hanya akan luntur selepas 500 tahun.
  • YKK merupakan singkatan dari Yoshida Kogyo Kabushibibaisha iaitu pengeluar zip terbesar di dunia.
  • Anjing tidak boleh makan coklat kerana memberi kesan buruk kepada jantung dan sistem sarafnya.
  • Sekitar 1830-an, kicap dijual sebagai ubat.
  • Ubat penghalau nyamuk (repellant) bertindak menghalang pancaindera nyamuk dari mengesan manusia bukan membunuh nyamuk.
  • Nama yang paling banyak digunakan di dunia ialah Muhammad.
  • Lipas boleh hidup sehingga 10 hari selepas kepalanya dicabut.
  • Produk pertama menggunakan kod bar ialah Wrigley's Gum.
  • Bintang bola keranjang Michael Jordan menerima gaji AS$20 juta (RM76 juta) setahun selaku model pakaian sukan Nike. Jumlah itu melebihi gaji yang diterima oleh semua pekerja syarikat berkenaan di Malaysia.
  • Bunyi itik menguek tidak bergema.
  • Leornado da Vinci boleh menulis dan melukis serentak menggunakan kedua-dua belah tangannya.